SELAYANG 25 Jun - Penduduk Kampung Baru Kundang di sini gembira
apabila jalan pintas ke Bandar Tasik Puteri bakal menjadi kenyataan
tidak lama lagi.
Pengumuman projek membina jalan berkenaan diumumkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu ketika
melawat kampung itu dan sekitarnya.
Kegembiraan penduduk itu begitu jelas kelihatan ketika meeka
menghadiri majlis pecah tanah pembinaan jalan sepanjang 3.2 kilometer
itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang
Chai semalam.
Seorang penduduk, Rohana Kassim, 47, berkata, mereka tidak sabar
untuk melihat projek pembinaan itu bermula kerana ia akan memberi
manfaat kepada penduduk yang sudah lama menanti jalan itu.
“Dengan adanya jalan ini, kami dapat memendekkan tempoh perjalanan
(ke Bandar Tasik Puteri) kepada hanya lima minit berbanding terpaksa
menempuh kesesakan di jalan sedia ada selama 30 minit ketika ini.
“Kini, penduduk tetap menggunakan jalan pintas yang tidak bertar itu
kerana ia ternyata lebih dekat tetapi terpaksa berhadapan risiko
kenderaan rosak kerana permukaannya yang berlopak dan tidak sempurna,"
katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukur Idrus.
Seorang lagi penduduk, N. Ravi, 49, berkata, pembinaan jalan tersebut
menunjukkan setiap janji yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan
ditunaikan walaupun ia berada di kawasan yang ditadbir pembangkang.
“Penduduk sangat menghargai usaha kerajaan yang membina infrastruktur
ini kerana kami sudah tidak sanggup lagi untuk mengharungi kesesakan.
Jika mahu menunggu kerajaan negeri entah bila ia akan menjadi
kenyataan," ujarnya.
Sementara itu, Donald Lim berkata, projek berharga RM4.2 juta itu
akan dilaksanakan serta merta dan dijangka mengambil masa enam bulan
untuk disiapkan.
“Kerajaan tidak pernah gagal menjalankan tugas dengan menyediakan
peruntukan yang secukupnya untuk membina jalan baru bagi memudahkan
penduduk," katanya.
Dalam pada itu, Shukur berkata, pembinaan jalan tersebut akan memberi
manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitar untuk ke Bandar Tasik
Puteri.
Tambah beliau, perancangan lain pihaknya adalah untuk menghubungkan
Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor dengan mewujudkan jalan keluar ke
situ melalui Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar).
“Ketika ini hanya terdapat jalan masuk dari Kundang ke lebuh raya itu
dan kita berharap syarikat yang mengendalikan lebuh raya tersebut akan
bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya.