Tuesday, June 26, 2012

Jalan pintas ke Rawang




SELAYANG 25 Jun - Penduduk Kampung Baru Kundang di sini gembira apabila jalan pintas ke Bandar Tasik Puteri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Pengumuman projek membina jalan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu ketika melawat kampung itu dan sekitarnya.

Kegembiraan penduduk itu begitu jelas kelihatan ketika meeka menghadiri majlis pecah tanah pembinaan jalan sepanjang 3.2 kilometer itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai semalam.

Seorang penduduk, Rohana Kassim, 47, berkata, mereka tidak sabar untuk melihat projek pembinaan itu bermula kerana ia akan memberi manfaat kepada penduduk yang sudah lama menanti jalan itu.

“Dengan adanya jalan ini, kami dapat memendekkan tempoh perjalanan (ke Bandar Tasik Puteri) kepada hanya lima minit berbanding terpaksa menempuh kesesakan di jalan sedia ada selama 30 minit ketika ini.

“Kini, penduduk tetap menggunakan jalan pintas yang tidak bertar itu kerana ia ternyata lebih dekat tetapi terpaksa berhadapan risiko kenderaan rosak kerana permukaannya yang berlopak dan tidak sempurna," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukur Idrus.

Seorang lagi penduduk, N. Ravi, 49, berkata, pembinaan jalan tersebut menunjukkan setiap janji yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan ditunaikan walaupun ia berada di kawasan yang ditadbir pembangkang.

“Penduduk sangat menghargai usaha kerajaan yang membina infrastruktur ini kerana kami sudah tidak sanggup lagi untuk mengharungi kesesakan. Jika mahu menunggu kerajaan negeri entah bila ia akan menjadi kenyataan," ujarnya.

Sementara itu, Donald Lim berkata, projek berharga RM4.2 juta itu akan dilaksanakan serta merta dan dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

“Kerajaan tidak pernah gagal menjalankan tugas dengan menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk membina jalan baru bagi memudahkan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Shukur berkata, pembinaan jalan tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitar untuk ke Bandar Tasik Puteri.

Tambah beliau, perancangan lain pihaknya adalah untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor dengan mewujudkan jalan keluar ke situ melalui Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar).

“Ketika ini hanya terdapat jalan masuk dari Kundang ke lebuh raya itu dan kita berharap syarikat yang mengendalikan lebuh raya tersebut akan bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya.

No comments: