Wednesday, August 17, 2011

K’jaan rugi RM800j akibat minuman keras seludup




MERBOK: Kegiatan penyeludupan minuman keras mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM800 juta setahun dalam bentuk cukai, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata, penyeludupan berlaku akibat kebocoran dalam aspek penguatkuasaan khususnya di perairan negara dan sehubungan itu Jabatan Kastam diminta mengambil tindakan tegas mengatasi aktiviti itu dengan meningkatkan pengawasan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti menjadi laluan penyeludup.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat projek pengkalan Kastam Pencegahan dan Perumahan Kastam Tanjung Dawai di sini, semalam.

Projek tersebut berharga RM12.1 juta di kawasan seluas 4.5 ekar itu membabitkan pembinaan sebuah bangunan pejabat satu tingkat dan rumah kediaman untuk 25 orang yang sepatutnya dijadualkan siap Jun lepas.

“Kementerian Kewangan memberi tempoh kepada kontraktor untuk menyiapkannya pada 5 Disember ini dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah memantau projek itu lebih kerap dan berkala bagi memastikan ia siap mengikut jadual,” katanya.

Donald Lim berkata, kelewatan itu berpunca dari masalah setinggan serta sembilan jeti haram yang mengambil masa untuk diselesaikan, dan menurutnya projek pengkalan itu sudah siap 39 peratus.

Beliau berharap kewujudan pangkalan Cawangan Pencegahan di Tanjung Dawai mampu membendung kegiatan penyeludupan barang di perairan Kedah sehingga Pulau Pinang.

Terdahulu beliau diberi taklimat kemajuan semasa projek itu oleh juruttera JKR Kuala Muda Mohd Fadil Bashah, dan yang turut hadir ialahu pengarah Kastam Kedah, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff. — Bernama

No comments: