Thursday, October 4, 2012

Donald Lim : Pembiayaan AIM RM7.53b sejak 1987



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pembiayaan sebanyak RM7.53 bilion telah disalurkan kepada 320,897 peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di seluruh negara sejak badan amanah itu ditubuhkan pada 17 September 1987.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, sehingga hari ini, AIM mempunyai 123 cawangan dan beroperasi di 13 negeri di seluruh negara.

Selain itu, katanya, kajian impak terkini oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati purata pendapatan peminjam AIM meningkat kepada RM2,675 sebulan berbanding RM515 sebulan sebelum ini.

"Pendekatan AIM membangunkan golongan sasar adalah melalui proses pemerkasaan agar mereka boleh bersaing dalam arus pembangunan negara.

"Pendekatan ini diterapkan melalui falsafah pembiayaan dan bayaran balik secara mingguan iaitu peminjam perlu bersungguh-sungguh memastikan projek dilaksanakan berjaya supaya mampu membayar balik pinjaman," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Salleh Kalbi (BN-Silam) yang ingin mengetahui jumlah peminjam AIM sehingga hari ini dan apakah keupayaan mereka untuk bersaing di pasaran.

Kepada pertanyaan lisan kedua Salleh berhubung usaha meningkatkan capaian AIM di kawasan pedalaman khususnya di Sabah, beliau berkata, lebih banyak cawangan operasi dibuka di negeri itu berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, sehingga Ogos 2012, Sabah mencatatkan bilangan cawangan AIM tertinggi iaitu sebanyak 22 buah.

"Secara tidak langsung, penyertaan peminjam AIM di Sabah mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu seramai 59,072 orang. Antara daerah yang mempunyai cawangan AIM di Sabah termasuklah Beaufort, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Tuaran dan Papar," jelasnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: