Tuesday, November 22, 2011

Timbalan Menteri Kewangan: Lebih 23,000 Unit Rumah Dibina SPNB




KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Sebanyak 14,467 unit kediaman melalui projek Rumah Mampu Milik (RMM) dan 8,648 unit projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang bertanggungjawab melaksanakan kedua-dua projek berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai berkata ia melibatkan kos RM1,268.5 juta untuk projek RMM dan RM604 juta untuk RMR.

Ini membabitkan pembinaan unit rumah dan kos sepanjang 2008 hingga 2011, katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Kepada soalan tambahan Mohd Jidin mengenai projek rumah terbengkalai, Lim berkata ia berlaku disebabkan faktor seperti kekangan kewangan di pihak kontraktor dan masalah reka bentuk.

Lim berkata SPNB telah diminta melantik kontraktor berkualiti bagi mengelak projek yang dijalankan daripada menghadapi masalah.

Menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), beliau berkata projek yang dijalankan adalah melalui proses tender terbuka dan melalui proses yang adil.

-- BERNAMA

No comments: