Wednesday, February 15, 2012

GST hanya akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan




JOHOR BAHRU 14 Feb. - Kerajaan hanya hanya akan melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas mendapat persetujuan daripada komuniti perniagaan termasuk penggiat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, persidangan meja bulat akan dilaksanakan bersama komuniti perniagaan pada pertengahan tahun ini bagi mendapatkan maklum balas sebelum bacaan kali kedua mengenai GST dijalankan di Dewan Rakyat.

Beliau memberitahu, bacaan pertama rang undang-undang tersebut dibuat pada 16 Disember 2009, bagaimanapun laporan daripada dewan-dewan perniagaan menyatakan bahawa 80 peratus daripada komuniti perniagaan masih belum bersedia terhadap perlaksanaan GST tersebut

"Pada pertengahan tahun ini satu persidangan meja bulat akan dilakukan bagi melihat maklum balas dan cadangan daripada dewan-dewan perniagaan yang ada di negara ini dan selepas mendapat persetujuan majoriti antara 60 ke 70 peratus kita akan teruskan dengan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

"Sistem ini hanya akan dilaksanakan apabila semua pihak sudah bersedia dan tiada sebarang tarikh khusus ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan GST 2012 anjuran bersama Johor Coproration, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Kastam Diraja Malaysia dan Institut Pembangunan Pengurusan Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Donald berkata, berkata sistem perlaksanaan GST bagi pengguna telah dijalankan dan hampir siap manakala kajian terperinci di peringkat kerajaan dan syarikat-syarikat akan dibuat selepas itu.

Beliau berkata, GST merupakan satu sistem cukai yang lebih adil kerana cukai dikenakan apabila berbelanja atau menggunakan barang dan perkhidmatan.

"Lebih banyak kita berbelanja, lebih banyak cukai yang kita bayar," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 146 negara di dunia ini sudah melaksanakan sistem GST termasuk negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Beliau berkata, kadar GST yang ada pada waktu ini adalah sekitar kadar terendah iaitu lima peratus seperti di Kanada dan Jepun hingga ke kadar tertinggi iaitu sebanyak 24 peratus di Ireland.

"Hanya dua negara Asean yang masih belum melaksanakan sistem GST iaitu Malaysia dan Brunei," katanya. - UTUSAN

No comments: