Tuesday, August 24, 2010

Kementerian Kewangan Pantau Pastikan Projek Siap Mengikut Jadual




SEPANG, 23 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan projek-projek kerajaan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim.

Beliau berkata ini adalah tanggungjawab kementerian berkenaan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja dan memantau projek pembinaan kampus kedua Institut Penilaian Negara (Inspen) pada hari Isnin, katanya projek pembinaan kampus kedua tersebut yang mengalami masalah kelewatan dalam pembinaan, dijangka dapat disiapkan Oktober ini.

Katanya kontraktor berkenaan telah memberikan jaminan bahawa projek itu yang bernilai RM200 juta, akan dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan.

Projek itu yang kini telah siap pada kadar 75 peratus berbanding 85 peratus mengikut jadual, tidak membabitkan sebarang pertambahan kos dan ia sepatutnya siap dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kampus sedia ada Inspen terletak di Bangi dan projek pembinaan kampus kedua berhampiran Putrajaya ini telah bermula pada 2008 dan dijangka beroperasi pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA

No comments: